
Perlu dirujuk kepada Hukum Syarak berhubung dengan kemampuan supaya lebih meyakinkan dan menepati kehendak Allah S.W.T di antaranya dalam Surah Al-Talaq ayat 7 yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah S.W.T kepadanya (orang-orang yang dalam kesempitan) hendaklah ingat bahawa Allah S.W.T akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Kami juga merujuk firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
“Dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuan.”
Ayat ini menjelaskan suami atau bapa wajib memberi nafkah kepada isteri dan juga anak yang dilahirkan oleh isteri itu yang harus difahami dengan jelas supaya bapa faham dan tidak keberatan untuk mengabaikan tanggungjawab tersebut. Semua nas Hukum Syarak dan undang-undang di atas menjelaskan tentang kewajipan bapa menanggung nafkah anak-anak.
Kadar belanja hidup tinggi sesuai dengan taraf kehidupan pihak-pihak yang terbabit. Ini bersesuaian dengan Seksyen 62 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengambil kira kadar nafkah itu berbanding dengan mengambil kira pendapatan orang yang terhadapnya perintah itu dibuat.”
Dalam tuntutan anak di Mahkamah perlulah melihat kepada keperluan anak dan juga kemampuan bapa atau pihak yang difardhukan membayar nafkah anak tersebut. Mahkamah harus melihat tentang keperluan anak-anak dan taraf kehidupan, ini disebabkan keperluan anak-anak menajdi tanggungjawab bapa. Kewajipan nafkah bagi anak-anak bergantung kepada syarat-syarat berikut:-
1) Berkemampuan, baik dari segi pemilikan harta atau mempunyai keupayaan bekerja. Ini bererti seseorang yang mempunyai harta yang mencukupi wajiblah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kalau tidak mempunyai harta dan tidak berkeupayaan bekerja, maka wajiblah ia bekerja bagi menanggung nafkah bagi kanak-kanak yang menjadi tanggungjawabnya.
2) Kanak-kanak adalah seorang yang miskin, tidak memiliki apa-apa harta dan tidak berkeupayaan bekerja. Mereka berikut dianggap sebagai tidak berkemampuan.
3) Kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum baligh atau pun kerana menghidapi kecacatan baik dari segi fizikal atau pun mental sekalipun ia seorang yang sudah meningkat umur baligh.
4) Kanak-kanak perempuan yang sudah baligh tetapi belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi telah diceraikan oleh suami. Bagaimanapun bapa boleh meminta anak-anak perempuan melakukan kerja-kerja yang tidak mendatangkan fitnah untuk menyara hidupnya.
5) Mereka yang menuntut ilmu dianggap sebagai orang yang tidak berkemampuan. Ini adalah sekiranya kerja-kerja yang dilakukan akan menjadi halangan kepada mereka di dalam menuntut ilmu.
Melihat kepada syarat-syarat di atas bahawa walaupun anak-anak itu membesar tetapi masih belajar, ianya akan dikira lemah dari segi mencari nafkah untuk dirinya. Jika anak-anak sibuk mencari nafkah, dia akan ketinggalan di dalam pelajaran atau masa hadapannya akan terganggu. Oleh itu, Mahkamah perlu melihat bahawa kewajipan bapa masih tidak terlepas dari tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya.
Allahualam,
Mohamad Azlin & Suriati Associates
8 Disember 2023 jam 4.22 petang.
>> Tajuk berikutnya: Nafkah anak menjadi hutang jika gagal bayar berdasarkan perintah Mahkamah.