NIKAH SINDIKET, IBU AYAH GEMBIRA, ANAK SENGSARA TERIMA KESAN BERPANJANGAN

Anak Tak Sah Taraf,Kesahtarafan Anak,Khidmat Runding Cara,Nafkah Anak,Pengesahan Nikah,sabitan nasab

NIKAH SINDIKET, IBU AYAH GEMBIRA, ANAK SENGSARA TERIMA KESAN BERPANJANGAN

Perkahwinan adalah asas pembentukan institusi keluarga yang sah dan berlandaskan undang-undang. Namun, terdapat sebilangan pasangan yang memilih jalan pintas dengan melangsungkan perkahwinan melalui sindiket nikah yang tidak diiktiraf. Keputusan ini mungkin disebabkan oleh tekanan keluarga, keinginan untuk berpoligami secara rahsia, atau mengelak prosedur rasmi yang disyaratkan undang-undang. Walaupun niatnya mungkin kelihatan sah, perkahwinan sindiket sering menimbulkan kesan jangka panjang – bukan sahaja kepada pasangan, tetapi lebih mendalam kepada anak-anak yang lahir daripada ikatan tersebut.

1. Nasab Anak: Status anak tidak sah taraf bila status nikah ibu bapa tidak sah

Anak-anak yang lahir daripada perkahwinan sindiket berdepan risiko tidak diiktiraf sebagai anak sah taraf. Ini berlaku apabila akad nikah tidak dijalankan mengikut hukum syarak – contohnya tanpa wali yang sah, atau jurunikah tidak bertauliah.

Berdasarkan Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, nasab anak hanya boleh diiktiraf jika wujud perkahwinan yang sah mengikut syarak dan undang-undang.

Bila pasangan ambik mudah isu nikah ini hingga rukun nikah tidak dipenuhi, nikah jadi tidak sah. Anak yang jadi mangsa.

Akibatnya, anak ini tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa, sebaliknya dibin atau dibintikan kepada Abdullah sahaja. Ini menimbulkan stigma sosial yang berat dan boleh memberi kesan psikologi kepada anak-anak apabila dewasa kelak, terutama dalam urusan pendidikan, pekerjaan, dan sosial.

2. Status anak tidak sah taraf dalam pendaftaran Surat Beranak

Pendaftaran kelahiran anak memerlukan bukti perkahwinan yang sah. Dalam kes nikah sindiket, ibu bapa sering gagal mengemukakan sijil nikah palsu, sijil nikah Thailand yang belum disahkan, atau yang tidak diiktiraf pihak berkuasa agama negeri, malah tidak ada sijil nikah pun menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan meletakkan nama bapa dalam surat beranak dan berbin/ bintikan Abdullah.

Ini boleh dilihat dalam kes yang dilaporkan dalam jurnal Journal of Shariah Law Research (2022), di mana pasangan yang bernikah di Songkhla, Thailand tanpa kebenaran berdepan kesukaran mendaftarkan anak mereka sebagai anak sah taraf. Keadaan ini boleh berlarutan sehingga ke peringkat mahkamah untuk proses pengesahan nikah dan pengesahan wali.

3. Hasrat anak perempuan hendak kahwin tertangguh sebab ibu ayah tiada surat nikah

Anak-anak yang lahir hasil perkahwinan sindiket berdepan kekangan untuk bernikah kelak terutamanya bagi anak perempuan. Seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa wali bagi perempuan hendaklah wali nasab yang sah.

Penentuan wali dilihat kepada pernikahan ibu ayah. Bagaimana nak katakan sahnya nikah ibu ayah jika mereka masih pegang surat nikah Thailand atau sempadan.

Terpaksalah tangguh pernikahan anak kerana perlu selesaikan isu nikah ibu ayah dulu.  Kalau sekejap mungkin boleh tunggu, kalau lama prosesnya silap haribulan terpaksa batal terus.

Kalau ibu bapa enggan daftar? Bertambahlah masalah.

4. Nafkah: Tanggungjawab yang Tidak Terjamin terhadap anak-anak yang tidak sah taraf

Dalam situasi di mana perkahwinan tidak sah di sisi undang-undang, isu nafkah kepada anak menjadi lebih rumit. Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak sah taraf. Namun, dalam kes perkahwinan sindiket, jika tiada pengiktirafan sah terhadap perkahwinan, bapa mungkin enggan atau menolak tanggungjawab kerana tiada rekod rasmi sebagai suami atau bapa.

Anak yang menjadi mangsa akan terabai dari sudut sokongan kewangan, pendidikan dan penjagaan emosi. Walaupun ibu boleh memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah, proses ini memakan masa, emosi dan kadangkala tidak berjaya jika identiti bapa tidak dapat disabitkan secara sah.

5. Tercicir pembelelajaran jika anak tidak dapat daftar sekolah

Ada ibu bapa yang tidak mendaftar terus pernikahan mereka, malah mereka juga tidak mendaftarkan kelahiran anak mereka. Kesannya anak tiada sijil kelahiran anak. Bila tiada sijil lahir, tidak boleh daftar sekolah kerajaan. Bila tidak daftar sekolah, peperiksaan juga tidak boleh diduduki. Tercicirlah anak-anak dalam pendidikan. Bagaimana nasib mereka kelak.

Ibu bapa kena cakna dan ambil tindakan perbetulkan semula status pernikah dan daftar segera nikah mereka.

Nikah sindiket bukan sekadar kesalahan prosedur, tetapi melibatkan hak dan masa depan anak-anak. Kesannya mendalam – dari segi identiti, hak nafkah, pendaftaran dan urusan perkahwinan. Pilihan untuk melangkah prosedur sah ini mungkin tampak mudah pada awalnya, namun ia meninggalkan kesan berpanjangan kepada anak-anak yang tidak bersalah.

Jika tidak kasihan pada diri kita, kasihanlah pada anak-anak. Rujuk pihak berwajib untuk mulakan daftar pernikahan anda atau boleh klik www.azlinsuriati.com untuk info.

Tuan Mohamad Azlin

Peguam Syarie

www.azlinsuriati.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Sebut Harga Anda Sekarang !