NAFKAH ANAK MENJADI HUTANG JIKA GAGAL BAYAR MENGIKUT PERINTAH MAHKAMAH

Nafkah Anak,Nafkah Tertunggak Anak

NAFKAH ANAK MENJADI HUTANG JIKA GAGAL BAYAR MENGIKUT PERINTAH MAHKAMAH

Apabila adanya perintah Mahkamah sama ada perintah persetujuan oleh pihak-pihak atau perintah yang difardhukan yang pihak bapa kena membayar nafkah anak, maka jika bapa enggan membayar sebagaimana perintah tadi maka segala amaun yang gagal dibayar atau dimungkiri bayar itu akan menjadi satu hutang atau tunggakan.

Nafkah anak tersebut yang boleh dikuatkuasakan di Mahkamah adalah bermulanya daripada perintah Mahkamah dikeluarkan. Merujuk kitab al-Fiqh Islami karangan Wahbah al Zuhaili muka surat 820 ada menyatakan yang bermaksud: “Nafkah anak tidak menjadi hutang melainkan dengan difardhukan oleh Qadi (Perintah Mahkamah).”

Oleh itu adalah jelas seseorang isteri itu tidak boleh menuntut tunggakan nafkah bagi anak-anak kecuali isteri itu telah pun memperolehi Perintah terlebih dahulu sebelum ini daripada Mahkamah Syariah.

Berkait dengan lamanya tempoh perintah bagi nafkah anak, Seksyen 80 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:-

Kecuali –

(a) Jika sesuatu perintah mengenai nafkah seorang anak dinyatakan sebagai selama tempoh yang lebih singkat; atau

(b) Jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan; atau

(c) Jika sesuatu perintah itu dibuat untuk-

i. seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya; atau

ii. seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya,

Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi

Allahualam,

Mohamad Azlin & Suriati Associates

27 Disember 2023 jam 4.35 petang.

>> Tajuk berikutnya: Mengubah Perintah Nafkah Anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Sebut Harga Anda Sekarang !