
Kenapa anak hasil dari pernikahan sindiket atau tidak berdaftar diletakkan status TIDAK SAH TARAF.
Banyak kita dengar keluhan orang pasangan yang bernikah di sempadan terutamanya di Thailand atau yang nikah sindiket tentang masalah status anak yang lahirr dari hasil perkahwinan tapi didaftarkan tidak sah taraf dan tidak dibinkan dengan ayah.
Malah ada juga pasangan itu sendiri yang tidak tahu pun anaknya berstatut tak sah taraf. Saya sendiri berjumpa pasangan yang anaknya dah usia 12 tahun baru tahu statunya tidak sah taraf. Sebabnya bila ambik kad pengenalan, nama ayah tidak ada.
Isunya apa sebenarnya?
Bila nikah tidak berdaftar, tidak ada rekod perkahwinan dalam sistem perkahwinan Malaysia. Sijil kelahiran anak diletakkan sebagai tidak sah taraf.
Proses pendaftaran anak di Jabatan Pendaftaran Negara untuk Sijil Kelahiran memerlukan dokumen pernikahan ibu bapa. Dokumen pernikahan yang diiktiraf pula hanya untuk Surat Nikah Malaysia atau surat nikah luar yang telah disahkan oleh Mahkamah Syariah.
Isu bagi pernikahan yang tidak berdaftar atau nikah sempadan adalah surat nikah yang dikemukakan pasangan semasa mendaftarkan kelahiran anak bukannya surat nikah Malaysia (kebanyakkannya Surat Nikah Thailand), bukan surat nikah yang telah disahkan oleh Mahkamah dan tidak ada rekod pernikahan lebih teruk lagi surat nikah palsu.
Kesannya, pendaftaran anak tidak dapat dilengkapkan dan pada kebanyakkan pendaftaran anak diletakkan dalam status TIDAK SAH TARAF sehinggalah isu pernikahan ibu ayah diselesaikan.
Kalau nikah sendiri dan tidak ada surat nikah, lagilah rumit masalah. Yang ada dokumen nikah pun ada cabaran nak mendaftar, yang tidak ada dokumen nikah langsung, lagilah bertambah cabarannya.
Kenapa dulu boleh je daftar?
Saya banyak juga terima soalan ni, kenapa isu ni dulu takde. Zaman mak ayah kita dulu elok je daftar anak walaupun ada juga pasangan yang nikah di sempadan.
Jawapan saya ni berdasarkan info yang saya dapat. Pertama sebabnya dulu pendaftaran secara manual dan tidak bersistem lengkap seperti sekarang.
Keduanya, sebab dulu saya percaya pernikahan kebanyakkannya dibuat secara betul sehinggalah timbul zaman nikah palsu, dokumen palsu dan jurunikah palsu. Dulu susah kita nak jumpa surat nikah palsu, sekarang yang palsu sebiji sama dengan yang asli. Bukan setakat surat nikah, surat konsulat pun ada yang palsu. Kertasnya sama, warnanya sama, lubang tebuknya pun sama, font pun sama. Yang tak boleh ditiru nombor siri je.
Jadi bila dah ada sistem pendaftaran yang sistematik dan juga dah link dengan banyak jabatan kerajaan termasuk Pejabat Agama. Pernikahan yang palsu atau yang tidak sah dapat dibendung.
Yang pastinya tujuannya untuk memastikan nasab terpelihara. Bayangkan jika nikah tidak sah tapi anak didaftarkan sebagai anak kandung. Bagaimana pernikahan anak tu nanti?
Perlu diingatkan pernikahan yang tidak didaftarkan bukanlah 100% tidak sah dari segi hukum syarak tapi dari segi dokumentasi ia diragui. Bila diragui, status pernikahan mestilah diselesaikan dan didaftarkan barulah semua proses pendaftaran sijil kelahiran anak selesai.
Nasihat saya, yang belum daftar atau belum sahkan nikah. Buat segera supaya tidak timbul bermacam masalah kemudian hari.
Moga ada manfaat.
Tuan Mohamad Azlin
Mohamad Azlin & Suriati Associates
www.azlinsuriati.com