
Dokumen yang lengkap sangat membantu proses pengesahan nikah.
Pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah adalah satu proses penting yang sering kali dihadapi oleh pasangan yang bernikah di luar negara, atau yang bernikah tanpa kebenaran di Pejabat Agama atau pernikahan sindiket serta nikah sempadan.
Semua pernikahan ini mesti disahkan dahulu di Mahkamah Syariah sebelum boleh didaftarkan di Pejabat Agama.
Ramai dalam kalangan masyarakat kurang faham tentang dokumen apa yang perlu dikemukakan untuk menyokong permohonan pengesahan ini. Hakikatnya, dokumen yang lengkap boleh mempercepatkan proses, mengelakkan kelewatan, dan membantu Mahkamah membuat keputusan dengan lebih mudah.
Dalam artikel ini, saya akan kongsikan dokumen-dokumen utama yang boleh membantu orang awam semasa memohon pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah.
1. Saksi Pernikahan

Saksi adalah bukti hidup yang sangat penting dalam pengesahan sesuatu pernikahan. Walaupun ia bukanlah berbentuk dokumen tetapi saksi adalah yang paling kuat boleh membantu mengesahkan semua fakta berkaitan pernikahan.
Saksi yang boleh dikemukakan adalah antaranya:
1. Saksi Nikah (Orang yang menjadi saksi nikah kebiasaannya duduk di sebelah pengantin. Saksi Nikah hanya 2 orang sahaja.)
2. Saksi Majlis Nikah (Mereka yang hadir semasa majlis nikah. Bukan saksi nikah. Boleh jadi di kalangan adik beradik, saudara mara atau kawan-kawan.)
Kehadiran saksi yang pernah menyaksikan majlis akad nikah boleh menguatkan hujah bahawa pernikahan itu benar-benar berlaku serta mengesahkan proses pernikahan. Mahkamah biasanya akan memanggil saksi untuk memberi keterangan secara lisan.
2. Surat Nikah atau Dokumen Akad

Surat nikah dokumen yang sangat penting kerana semua maklumat pernikahan ada dalam dokumen tersebut. Jika ada fakta yang terlupa, pasangan masih boleh merujuk kepada dokumen tersebut.
Jika pasangan mempunyai dokumen rasmi seperti surat nikah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama di negara atau tempat pernikahan berlangsung, dokumen ini akan sangat membantu.
Walaupun ada situasi di mana surat nikah tidak lengkap atau tidak diiktiraf ataupun ada kalanya surat nikah tersebut palsu ia tetap boleh membantu menjadi sokongan tambahan kerana maklumat pernikahan dicatat dalam dokumen tersebut.
Contoh:
- Surat nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.
- Dokumen akad bertulis daripada imam atau tok kadi di lokasi pernikahan.
3. Rakaman Video dan Gambar Pernikahan

Rakaman video atau gambar perkahwinan juga boleh digunakan sebagai bahan sokongan. Ia mungkin tidak sekuat dokumen rasmi, tetapi tetap menunjukkan bahawa satu majlis pernikahan telah berlaku.
Gambar atau video juga membantu menunjukkan mereka yang hadir serta proses pernikahan tersebut.
Mahkamah boleh menilai rakaman tersebut bersama bukti lain
Tip: Simpan rakaman dalam bentuk asal dan pastikan ia jelas serta boleh ditonton di mahkamah.
4. Dokumen Perjalanan (Pasport & Tiket)

Bagi pasangan yang bernikah di luar negara, dokumen perjalanan seperti pasport, visa, dan tiket perjalanan adalah bukti penting.
Pasport yang menunjukkan tarikh keluar masuk negara boleh mengaitkan kehadiran pasangan di lokasi pernikahan pada tarikh tertentu.
Contoh:
- Cop imigresen masuk dan keluar dari Thailand, Indonesia atau negara lain.
- Tiket penerbangan atau bas yang menunjukkan perjalanan ke lokasi pernikahan.
5. Surat Konsulat (Pernikahan di Thailand)

Bagi pasangan yang bernikah di Thailand, salah satu dokumen paling penting ialah surat konsulat. Dokumen ini biasanya dikeluarkan oleh Konsulat Malaysia di Songkhla sebagai pengesahan bahawa pasangan rakyat Malaysia telah bernikah di sana.
Mahkamah Syariah di Malaysia lazimnya memerlukan surat ini sebagai sokongan rasmi.
Jika belum ada surat konsulat, pasangan boleh memohon daripada pihak konsulat dengan membawa dokumen pernikahan.
6. Kartu Keluarga (Pernikahan di Indonesia)

Bagi pernikahan yang berlangsung di Indonesia, dokumen yang dipanggil Kartu Keluarga ini juga sangat penting dan boleh membantu pasangan dalam permohonannya.
Dokumen ini hanya ada di Indonesia yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Indonesia. Dokumen ini menujukkan salasilah ibu bapa dan anak-anak dalam satu keluarga.
Kenapa Dokumen Ini Penting?
Ramai pasangan datang ke Mahkamah dengan hanya membawa cerita lisan tanpa dokumen. Akibatnya, proses pengesahan menjadi panjang, banyak kali ditangguhkan, dan menyukarkan pihak yang terlibat. Dokumen-dokumen ini berfungsi sebagai bukti sokongan yang konkrit, memudahkan Mahkamah menilai kes dan mempercepatkan keputusan.
Lebih penting lagi, pengesahan pernikahan adalah syarat bagi urusan-urusan penting selepas itu, seperti:
- Pendaftaran kelahiran anak.
- Permohonan nafkah isteri dan anak.
- Pembahagian harta pusaka.
- Permohonan sijil cerai sekiranya berlaku perceraian.
Proses pengesahan pernikahan di Mahkamah Syariah bukanlah sekadar soal undang-undang, tetapi juga soal hukum syarak bagi memastikan sah atau tidaknya sesuatu pernikahan. Ianya melibatkan dosa dan pahala.
Yang paling penting adalah pernikahan memenuhi rukun nikah. Itu yang paling utama. Dokumen adalah sebagai sokongan kepada proses tersebut.
Dengan menyediakan dokumen-dokumen yang lengkap seperti saksi, surat nikah, rakaman video, gambar, dokumen perjalanan, surat konsulat, dan kartu keluarga, orang awam boleh mengelakkan banyak kesulitan.
Tanpa dokumen lengkap, ianya akan menyulitkan proses pengesahan nikah. Nasihat saya kepada orang awam:
Sebelum hadir ke Mahkamah, pastikan semua dokumen ini sudah disediakan. Langkah awal ini akan memudahkan urusan, menjimatkan masa, dan memberi keyakinan bahawa pernikahan anda diiktiraf mengikut undang-undang.
Wallahua’lam
Tuan Mohamad Azlin
Peguam Syarie
Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Asssociates
www.azlinsuriati.com