
Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib ke atas seseorang samada isteri, anak dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Ia termasuk keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, keagamaan dan perubatan.
Apa Itu Tunggakan Nafkah Isteri?
Tunggakan nafkah isteri adalah merujuk kepada jumlah wang yang gagal dibayar oleh seorang suami kepada isteri berdasarkan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya diberikan menurut undang-undang, perjanjian atau keputusan mahkamah. Ini berlaku apabila suami gagal memenuhi kewajipannya dalam memberikan nafkah kepada isterinya semasa dalam tempoh perkahwinan.
Peruntukan di dalam Hukum Syarak dan Perundangan
Hukum Syarak
Kewajipan suami dalam menyediakan nafkah kepada isteri telah ditetapkan oleh Allah sebagaimana di dalam surah An-Nisa’, ayat 34 yang bermaksud:
“kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Perundangan
- Seksyen 60, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 – kuasa mahkamah memerintahkan nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz
 
- Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
 
- Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain-
 - Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
 - Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
 - Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
 
- Selepas isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.
 - Seksyen 70, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 – menuntut tunggakan nafkah
 
- Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.
 
- Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.
 
Syarat-syarat untuk menuntut nafkah tertunggak
Isteri perlu memenuhi dua (2) syarat untuk menuntut nafkah tertunggak isteri iaitu:
- Isteri hendaklah menunjukkan bentuk keperluan nafkahnya (keperluan & cara kiraan) dan bukti bahawa segala keperluannya telah diuruskan sendiri dengan menggunakan pendapatan/wangnya sendiri seperti mengemukakan resit pembayaran, bil-bil utiliti, sewa/ansuran bulanan rumah dan sebagainya yang gagal ditanggung oleh suami.
 
Namun begitu, isteri hendaklah membuktikan keperluan nafkah isteri tersebut dengan membuat tiga (3) pecahan mengikut keperluan dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyat yang mana dharuriyyat adalah perkara dharuri/mutlak yang diperlukan untuk kehidupan manusia. Hajiyyat adalah perkara yang apabila ianya tidak ada maka kehidupan manusia akan menjadi sangat susah. Manakala, Tahsiniyyat adalah perkara pelengkap yang menjadi hiasan tambahan di dalam kehidupan dan dengan kewujudannya, maka kehidupan manusia akan menjadi lebih sempurna.
- Kemampuan suami sepanjang dalam tempoh perkahwinan perlu dibuktikan.
 
Bila boleh membuat tuntutan nafkah tertunggak isteri?
Seorang isteri tidak perlu menunggu proses perceraian berlaku untuk menuntut nafkah tertunggak daripada suaminya. Selain itu, nafkah tertunggak ini layak dituntut oleh isteri atau bekas isteri selagimana beliau tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah.
Bagaimana pengiraannya?
Jumlah Nafkah Tertunggak Isteri (1 bulan) x Jumlah Bulan Yang Tertunggak
= Jumlah Keseluruhan Tertunggak
Kesimpulan
Penentuan nafkah tertunggak isteri tersebut hendaklah didasarkan kepada dua (2) keadaan iaitu mengemukakan keperluan nafkah isteri yang tertunggak sepanjang tempoh perkahwinan tersebut dan kemampuan suami/bekas suami. Namun, keperluan nafkah isteri tersebut perlu dilihat mengikut keperluan dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyat dengan mengutamakan keperluan dharuriyyat berbanding hajiyyat dan tahsiniyat.