5 Punca Pasangan Pernikahan Sempadan/Sindiket Tak Didaftarkan

Anak Tak Sah Taraf,Khidmat Runding Cara,Pengesahan Nikah

5 Punca Pasangan Pernikahan Sempadan/Sindiket Tak Didaftarkan

Ramai pasangan yang terlibat dengan nikah sindiket atau sempadan apa bila pulang ke Malaysia, mereka mendaftarkan dan sahkan nikah mereka di Mahkamah Syariah.

Namun masih terlalu banyak pasangan yang tidak mendaftarkan dan menyembunyikan perkahwinan mereka.

Artikel ini membincangkan tentang alasan mengapa pasangan yang terlibat dengan pernikahan sindiket atau sempadan enggan atau tidak mendaftarkan pernikahan mereka. Mereka banyak memilih untuk mendiamkan diri dalam tempoh yang lama.

Biasanya pasangan mempunyai sebab mengapa mereka tidak segera mendaftarkan nikah walaupun mereka tahu ianya satu keperluan dari segi dokumentasi.

Perkongsian ini saya nukilkan berdasarkan kes-kes yang saya jumpa personally, client yang kita handle dan data melalui sesi consultation.

1. Takut Rahsia Terbongkar bila isteri sedia ada tahu atau keluarga tahu.

Ini adalah alasan paling lazim dan menyayat hati. Ramai lelaki yang bernikah di sempadan memilih untuk tidak mendaftarkan semula nikah mereka di Malaysia kerana mahu menyembunyikan perkahwinan itu daripada isteri pertama. Ada yang menyembunyikan kerana bimbang dimarahi, ada pula kerana tahu mereka tidak mendapat kebenaran Mahkamah untuk berpoligami. Jadi, perkahwinan itu dianggap sebagai rahsia yang perlu dikuburkan sedalam-dalamnya.

Tetapi yang menyedihkan ialah, bukan sahaja suami tidak mendaftar – isteri kedua juga memilih untuk berdiam diri, sama ada kerana ingin menjaga hati suami, takut dimarahi atau tidak tahu haknya. Maka, tahun demi tahun berlalu. Anak pun lahir, membesar… tetapi tiada siapa yang berani melangkah ke Mahkamah untuk sahkan nikah mereka.

Bukan sahaja takut isteri sedia ada tahu, ada juga sembunyikan dari keluarga atau wali.

Akhirnya, apabila anak-anak sudah mencecah usia remaja, perlu mohon MyKad, masuk sekolah menengah, atau melanjutkan pelajaran — barulah mereka sedar betapa pentingnya dokumen perkahwinan itu. Ketika itulah barulah mereka mula panik dan mencari jalan penyelesaian. Ada yang baru datang ke Mahkamah selepas 10 hingga 15 tahun perkahwinan, semata-mata kerana sudah tidak mampu lagi sembunyikan kebenaran.

Kes-kes sebegini sangat banyak dalam amalan guaman syarie. Hampir kesemua perkahwinan poligami yang dilakukan tanpa kebenaran, akan mengambil masa yang lama untuk didaftarkan – bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana mereka sendiri memilih untuk menangguhkan. Dan akhirnya, bila rahsia mula terbongkar, barulah timbul kesedaran – yang kadang kala sudah terlambat dan urusan menjadi rumit.

2. Asalkan Sah Mengikut Syarak sudah lah, Tak Perlu Daftar pun.

Ini adalah antara alasan yang paling kerap digunakan oleh pasangan yang berkahwin di sempadan, khususnya pihak suami. Ramai yang mengambil pendekatan mudah — “janji sah dari segi agama, itu dah cukup”. Mereka berpegang pada pandangan bahawa selagi akad nikah itu memenuhi rukun dan syarat perkahwinan Islam, maka tiada keperluan untuk pengesahan atau pendaftaran di Malaysia.

“Kami dah ada wali, ada saksi, ada mahar. Sah dari segi agama. Buat apa nak daftar lagi?”

Inilah modal yang sering mereka ulang bila disoal tentang status pendaftaran. Bagi mereka, undang-undang atau peraturan pentadbiran agama dianggap tidak sepenting hukum syarak. Ada juga yang menganggap daftar di pejabat agama itu sekadar prosedur tambahan yang hanya melambatkan dan menyusahkan.

Namun mereka terlupa – sistem pendaftaran nikah bukan sekadar untuk ‘hal dunia’, tetapi ia adalah asas kepada perlindungan hak-hak isteri, anak, dan struktur keluarga itu sendiri. Tanpa pendaftaran yang sah, tiada dokumen rasmi dikeluarkan. Sijil nikah dari Thailand tidak laku di jabatan kerajaan. Bila anak nak daftar sekolah, buat MyKid atau uruskan pengenalan waris — semua akan tersekat kerana tiada bukti hitam putih yang sah.

Sedangkan di Malaysia, setiap perkahwinan yang dilakukan

di luar negara wajib disahkan melalui Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Barulah ia boleh didaftarkan secara rasmi di Pejabat Agama. Jika nikah tidak didaftarkan, bukan sahaja isteri kedua tidak boleh buat tuntutan seperti nafkah atau faraid, malah anak juga akan berstatus “tidak sah taraf” dan berdepan pelbagai kesulitan dari segi pendidikan, perubatan dan masa depan.

Pendek kata, tanpa dokumen nikah yang sah, pasangan tetap akan ‘sangkut’ juga satu hari nanti. Dan bila waktu itu tiba – biasanya ia datang dalam bentuk panik.

3. Takut Denda dan takut tak boleh handle dengan prosedur.

Ramai pasangan yang berkahwin di sempadan tahu bahawa mereka melanggar prosedur pernikahan yang ditetapkan oleh undang-undang syariah di Malaysia. Mereka tahu bahawa bila pulang ke tanah air, mereka perlu melalui proses pengesahan di Mahkamah Syariah sebelum boleh mendaftar di Pejabat Agama. Mereka tahu risikonya. Mereka juga tahu kemungkinan mereka akan dikenakan denda, saman atau hukuman kerana gagal mematuhi peraturan. Itulah risikonya bila peraturan dilanggar.

Namun apabila pulang ke Malaysia, realitinya lebih menakutkan daripada yang mereka bayangkan. Ada yang berasa serba salah untuk ke Mahkamah kerana bimbang tidak mampu membayar denda, takut dimarahi oleh hakim,  atau dikenakan hukuman yang lebih berat.

Ketakutan ini menjadikan mereka lebih rela terus berdiam dan membiarkan nikah itu tergantung tanpa pengesahan.

Ironinya, mereka sudah tahu pun perkara ini sejak awal – semasa memilih untuk bernikah di sempadan tanpa permohonan kebenaran. Tetapi waktu itu, semuanya kelihatan mudah dan menyenangkan.

Hakikatnya, proses pendaftaran semula memang ada cabaran tersendiri tetapi tidaklah terlalu rumit.  Pasangan perlu sediakan dokumen pernikahan dari Thailand, dapatkan pengesahan daripada konsulat, hadir ke Mahkamah Syariah bersama saksi, dan menjalani perbicaraan untuk mendapatkan perintah pengesahan nikah. Tapi itu semua bukan untuk menghukum semata tetapi untuk membetulkan dan memberi perlindungan sah kepada perkahwinan tersebut.

Malangnya, disebabkan ketakutan terhadap proses dan bayangan hukuman, ramai pasangan terus menangguh dan menangguh hingga anak dah besar, baru mulai resah.

Jika tidak disahkan bimbang lebih teruk lagi jika nikah tidak sah tetapi tinggal bersama dan anggap nikah sah.

4. Nanti-nanti Boleh Buat, buat apa nak kalut.

Satu lagi sebab utama kenapa ramai pasangan yang berkahwin di sempadan tidak mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Malaysia ialah kerana mereka merasakan tiada keperluan mendesak. Selagi tiada masalah, selagi tiada sesiapa yang bertanya, selagi hidup nampak ‘ok’, mereka lebih rela berdiam diri.

Khususnya suami. Dalam kebanyakan kes, pihak lelaki tidak merasakan kesan langsung yang besar daripada kegagalan mendaftar perkahwinan itu. Mereka masih boleh bekerja, membeli rumah, keluar negara, dan hidup seperti biasa. Tiada apa-apa sekatan. Jadi, urgensi untuk bertindak memang sangat rendah.

Berbeza dengan pihak isteri – yang berisiko tidak mendapat hak seperti nafkah, sijil lahir anak yang sah, dan ketiadaan pengiktirafan sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang.

Kebanyakan isteri yang akhirnya terpaksa mendesak dan ‘push’ suami untuk segera mendaftar. Ada yang menunggu bertahun-tahun, dan barulah apabila anak mula bersekolah, atau ingin membuat kad pengenalan, barulah mereka mula bertindak. Tapi selagi tiada desakan luaran, suami akan terus

menangguh — dan ini adalah realiti yang sangat kerap berlaku.

Para isteri lebih menerima kesan berbanding lelaki, sebab itu jangan dilengahkan pendaftaran nikah. Dalam banyak kes, pasangan hanya akan tersedar apabila ada situasi yang memerlukan dokumen nikah secara rasmi.

Dan selalunya bila mereka datang, barulah mereka akui – “kami tahu dari dulu, cuma tak rasa penting waktu tu”.

5. Pasangan kerja KERAJAAN, Bimbang Jejas Kerjaya.

Satu lagi sebab yang jarang dibincangkan secara terbuka, adalah ketakutan pasangan – terutamanya yang bekerja dalam sektor kerajaan – untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia. Ada suami yang merupakan penjawat awam, anggota keselamatan, guru, pegawai penguatkuasa atau kakitangan jabatan agama. Bila mereka memilih untuk

bernikah di sempadan tanpa kebenaran Mahkamah, mereka sedar tindakan itu boleh memberi implikasi terhadap kerjaya mereka.

Mereka tahu, jika perkahwinan itu terbongkar sebelum didaftarkan, mereka mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib, disiasat oleh Lembaga Disiplin, diberi surat tunjuk sebab, digantung tugas, malah berisiko hilang pekerjaan, hilang kenaikan pangkat atau tidak disambung kontrak. Lebih-lebih lagi jika mereka melanggar peraturan sedia ada berkaitan perkahwinan luar negara, perkahwinan tanpa kebenaran, atau isu poligami tanpa makluman.

Disebabkan itu, ramai yang memilih untuk “berdiam diri dahulu” dan merahsiakan perkahwinan mereka daripada jabatan. Mereka lebih rela tunggu – tunggu hingga pencen, tunggu hingga bertukar jabatan, atau tunggu sehingga mereka berhenti kerja — barulah mereka datang untuk daftar secara rasmi.

Dalam tempoh itu, isteri dan anak hidup tanpa pengiktirafan undang-undang. Hidup dalam bayang-bayang. Jika berlaku perceraian, kematian atau pertikaian, mereka tidak ada dokumen sah untuk menuntut hak.

Realitinya, ketakutan terhadap kesan pekerjaan ini menyebabkan pendaftaran perkahwinan ditangguhkan bukan setahun dua — tetapi ada yang sampai 20 tahun, dan hanya datang ke Mahkamah selepas bersara. Bila ditanya kenapa, jawapannya sama: “Saya kerja kerajaan… takut kena tindakan kalau daftar.”

Pendaftaran nikah secara rasmi juga tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan soal undang-undang semata-mata tetapi soal perlindungan masa depan keluarga.

Jika kita telah terlibat dengan nikah sindiket atau nikah sempadan, jangan terus membisu dan berharap semuanya akan baik-baik saja. Jangan tunggu anak membesar baru mahu bertindak. Jangan tunggu masalah timbul baru mahu ke pejabat agama.

Langkah yang betul ialah segera sahkan nikah melalui Mahkamah Syariah, kemudian daftarkan perkahwinan di Pejabat Agama. Dengan itu, kita akan ada dokumen yang sah, nama kita dan pasangan akan direkodkan dengan betul, dan yang paling penting anak-anak yang lahir nanti tidak akan menanggung akibat perbuatan kita hari ini.

Kalau kita terus menangguh, terus berdiam, masalah ini tidak akan hilang. Ia akan membesar, dan bila ia meletus, mungkin lebih ramai yang akan terluka.

Pendaftaran nikah bukan beban, ia adalah penyelamat. Ia bukan mengikat, tetapi memberi hak. Jangan tunggu sampai semuanya jadi terlalu rumit kerana ketika itu, mungkin sudah terlambat.

Anda boleh klik link www.azlinsuriati.com untuk info lanjut.

Tuan Mohamad Azlin

Peguam Syarie.

www.azlinsuriati.com

02hb Julai 2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Sebut Harga Anda Sekarang !